CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, 19 September 2013

Persahabatan Semata-mata Kerana Allah SWT

أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad  S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Bersahabat yang sebenar adalah persahabatan yang bukan setakat di dunia sahaja, tetapi persahabatan yang sebenar adalah persahabatan sehingga bertemu di syurga. Kita tidak mungkin selamat mengarungi bahtera kehidupan yang sangat luas dengan ancaman badai fitnah ini seorang diri. Kita tak dapat lolos dari ancaman fitnah dengan hanya mengandaikan kemampuan sendiri. Kerana kita diciptakan sebagai makhluk yang penuh kelemahan dan mudah terpedaya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : ”Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah”(Surah an-Nisa ayat 28 )

Kebersamaan dan persahabatan di jalan Allahlah yang akan menghantarkan kita menyelesaikan hidup dengan kebaikan. Persaudaraan, kebersamaan dan persahabatan di jalan Allahlah yang juga akan mengiringi kita pada kebahagian akhirat.

Dan hanya persahabatan atas dasar iman dan takwalah yang abadi. Hal ini selaras dengan firman Allah dalam Al-Quran: “Teman-teman akrab pada hari itu(hari kiamat) sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (Surah az-Zukhruf ayat 67)

Ibnu Katsir mengatakan, seluruh persahabatan yang tidak dilandaskan kerana Allah pada hari kiamat akan berubah menjadi permusuhan. Begitu juga pesan Rasulullah SAW dalam hadisnya yang menyebutkan bahawa,”Kita akan dibangkitkan di hari kiamat bersama orang yang kita cintai.”

Siapa orang yang kita cintai? Siapa orang-orang yang paling dekat dengan kita dalam menjalani hidup ini? Siapa orang yang paling menghiasi ingatan kita? Siapa yang menemani langkah-langkah hidup kita? Orang solehkah dia? Mengajak ke arah kebaikan dan keredaan Allah kah dia? Dan alangkah indahnya seandainya ada pertemuan yang sangat mengharukan dan penuh kegembiraan. Mari mulai sekarang kita bersahabat dengan orang-orang yang mendekatkan kita pada reda Allah SWT.

Anas bin Malik r.a. berkata: Nabi SAW. bersabda yang bermaksud: "Di dalam syurga ada pasar tetapi tidak ada jual beli, hanya orang-orang berkumpul membicarakan keadaan ketika di dunia dan cara beribadat, bagaimana keadaan antara si fakir dengan yang kaya dan bagaimana keadaan sesudah mati dan lama binasa dalam kubur sehingga sampai di syurga".

Sahabat-sahabat yang pernah bertemu di dunia ini kerana Allah SWT dan berbincang bersama-sama untuk menjalankan kerja-kerja dakwah, melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengajak manusia lain untuk kembali kepada ajaran Islam nanti akan bertemu disyurga. Mereka akan mencari sahabat-sahabat mereka yang lain kenapa ada diantara mereka tidak berada disyurga? Sekiranya ada dikalangan mereka yang telah memasuki neraka maka mereka akan cuba memohon kepada Allah SWT untuk memberi syafaat kepada sahabat-sahabat mereka yang diseksa dineraka.

Ulama' Salaf ada memberi pesanan :"Carilah banyak sahabat, kerana sesungguhnya tiap-tiap mukmin itu mempunyai syafaat.Maka semoga engkau dapat masuk ke dalam syafaat sahabatmu. Orang-orang beriman dan beramal soleh dapat memberi syafaat (pertolongan) kepada sahabat-sahabatnya dan membawa masuk kedalam syurga. Dikatakan juga , apabila Allah SWT. mengampunkan dosa seseorang, maka orang tersebut akan dapat memberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya."

Bagaimana Allah SWT memberi kemuliaan kepada orang-orang yang bertakwa, ketika didunia mereka bersahabat dan bersaudara kerana Allah SWT, mereka bertemu disyurga duduk berhadap-hadapan. Firman-Nya yang bermaksud : " Dan Kami cabut akan apa yang ada di hati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara
(dalam suasana kasih mesra)  serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing." (Surah al-Hijr ayat 47)

Di dalam hadis Qudsi Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Dimanakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku pada hari ini, Aku perlindungi mereka dibawah naungan Ku pada hari yang tiada lagi naungan kecuali naungan-Ku" (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muaz dari Rasulullah SAW baginda bersabda maksudnya: "Allah Azzawajalla berfirman: 'Orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanKu, mereka mempunyai beberapa-beberapa mimbar dari cahaya, sangat dicita-citakan tempat-tempat mereka itu oleh para Nabi, Shiddiqin dan Syuhada." (Hadis Riwayat At-Tirmidzi, Ahmad, Ibnu Hibban, Hakim)

Dalam Hadis Qudsi yang lain diriwayatkan oleh Ubadah As-Sahamit, Allah SWT berfirman maksudnya : "Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang cinta mencintai keranaKu. Kasih-sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang sering memperhubungkan tali silaturahim keranaKu. Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang saling bernasihat keranaKu. Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang saling berziarah keranaKu. Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang saling bantu membantu keranaKu. Orang yang cinta mencintai keranaKu berada di atas mimbar-mimbar dari cahaya, sangat dicita-citakan tempat-tempat mereka itu oleh para Nabi, Siddiqin dan Syuhada." (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, Hakim, Qudha'i)

Alangkah tingginya kemuliaan mereka. Alangkah sempurnannya ganjaran yang akan mereka dapati kerana mereka berkasih sayang kerana Allah.

Sahabat yang dikasihi,
Persahabatan dalam Islam adalah persahabatan kerana Allah SWT. Bertemu dan berpisah semata-mata kerana Allah SWT untuk menjalankan kewajipan dakwah untuk  amar makruf nahi mungkar. Doa di antara dua sahabat yang berkasih sayang dan menjalin ukhwah Islamiah adalah makbul disisi Allah SWT.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
"Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah SWT." (Hadis Riwayat Muslim)

Termasuk sahabat yang berjauhan adalah sahabat-sahabat di dalam alam maya (facebook) . Walaupun kita berjauhan dan perkenalan melalui alam maya tetapi jika persahabatan kita kerana Allah, saling nasihat menasihati, lengkap melengkapi dan berkongsi ilmu yang bermanfaat insya Allah kita semua akan termasuk di dalam hadis ini. Teruskanlah persahabatan ini dan jika kita ada permasaalahan berbincanglah bersama-sama dan carilah jawapannya mengikut ajaran Islam nescaya kita akan mendapat keredaan Allah SWT. di dunia dan akhirat. Doa-doa kalian kepada sahabat-sahabat kalian yang lain mustajab disisi Allah SWT.

Sahabat yang dihormati,
Marilah kita perbetulkan niat kita dalam persahabatan ini. Janganlah ada diantara kita cuba merosakkan persahabatan kerana Allah SWT ini dengan menibulkan perselisihan, fitnah memfitnah dan mengaibkan sesama kita. Jika ada perkara yang diperselisihkan perlulah saling bermaaf-maafan dan selesaikanlah secara hikmah dan lemah lembut. Buangkan segala sifat sombong, ujub dan bangga diri dalam diri kita dan hiasilah akhlak kita dengan akhlak Islam dan binalah ikatan persahabatan dan persaudaraan di antara kita semata-mata kerana Allah SWT.

SALAM RENUNGAN

Assalamualaikum...Lama sungguh tidak berwarkah di blogku ini...Alhamdulillah.. Masih diberi peluang untuk hidup di atas bumi bertuah ini.. Syukur Ya Allah.. Perkongsiaan ilmu untuk hari ini :

"Jika bersahabat kerana Allah, 
Jagalah KEAIBANNYA dan jangan merendahkan dirinya..

Jika bersahabat kerana Allah, 
NASIHATILAH dia dan bersedia MENERIMA nasihatnya.. 

Jika bersahabat kerana Allah, 
MAAFKANLAH dirinya... 

Jika mengaku bersahabat kerana Allah, 
Terimalah KELEMAHAN dan SIKAPNYA, 
Seperti dia bersedia menerima kelemahanmu,
JANGAN pula menjaja kelemahannya pada umum.. 

Jika kamu mngindamkan seorng SAHABAT SEJATI, 
maka BERUSAHALAH menjadi sahabat sejati kepada orang lain..
..Insya'Allah.."

Sunday, 3 February 2013

CINTAKAN DUNIA

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; 

"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi Muhammad s.a.w. kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati". 

H.R. Abu Daud 

Keterangan

Memang benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Keadaan umat Islam pada hari ini, menggarnbarkan kebenaran apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Umat Islam walaupun mereka mempunyai bilangan yang banyak, iaitu 1,000 juta (1/5 penduduk dunia), tetapi mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain. Mereka ditindas, diinjak-injak, disakiti, dibunuh dan sebagainya. Bangsa-bangsa dari seluruh dunia walau pun berbeza-beza agama, mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatannya. 

Sebenarnya, segala kekalahan kaum Muslimin adalah berpunca dari dalam diri kaum muslimin itu sendiri, iaitu dari penyakit 'wahan" yang merupakan penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalarn bentuk kembar dua, iaitu “cinta dunia” dan 'takut mati". Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan. "Cinta dunia" bermakna tamak, rakus, bakhil dan tidak mahu mendermakan harta di jalan Allah s.w.t. Manakala “takut mati" pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tidak ada perasaan untuk berkorban dengan diri dan jiwa dalam memperjuangkan agarna Allah s.w.t. 

Kita berdoa agar Allah s.w.t. menurunkan mushrahNya kepada kaum muslimin dan memberikan kepada mereka kejayaan di dunia dan di akhirat. Insyallah. 

Saturday, 2 February 2013

Dilarang bermusuhan sesama Islam!!!!

                      
*
Dari 'Aisyah ra katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Orang yang paling dibenci Allah ialah orang yang suka bermusuh-musuhan." (Riwayat Bukhari)

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu saling benci membenci, dengki mendengki dan sindir menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang Muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya. [Bukhari & Muslim]

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu berbicara dengan ucapan yang buruk, janganlah kamu sindir menyindir, janganlah kamu memperdengarkan khabar orang lain dan janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain. Sementara itu, jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.[Riwayat Bukhari & Muslim]

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah(panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." [Surah Al-Hujuuraat:11]

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan buruk-sangka(kecurigaan), kerana sebagian dari buruk-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang."[Surah Al-Hujuuraat:12]

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW telah bersabda: "Adakah kamu tahu siapakah orang papa (muflis) pada Hari Kiamat?" Jawab sahabat, "Orang papa yang kami tahu ialah orang yang habis wang dan harta bendanya. "Baginda bersabda lagi: "Sesungguhnya orang yang papa pada hari itu ialah orang yang mengerjakan sembahyang, puasa dan berzakat, di samping itu mereka suka mencaci atau memaki hamun, menuduh dengan sewenang-wenang, memakan harta orang lain, membunuh manusia dengan kejam dan memukul orang yang tidak bersalah. Segala amal kebajikannya yang dikerjakannya akan digunakan bagi menampung kesalahan dan kejahatan yang dilakukannya. Sekiranya kebajikannya tidak cukup, maka baki kesalahannya akan dicampur dengan kesalahan orang yang dianiaya lalu dibebankan kepadanya, kemudian ia dicampakkan kedalam neraka." (Riwayat Muslim)

Sakaratul maut




Sakaratul maut ialah suasana atau keadaan ketika hampir kematian.
Setiap kita akan menghadapinya pada suatu masa nanti.
Sakaratul maut adalah suatu keadaan yang sangat sukar dan menyakitkan.

Nabi yang mulia pun merasa sangat sakit ketika menempuh sakaratul maut.
Daripada Aisyah Radhiallahu anha berkata: "Aku melihat Rasulullah saw. sedang menghadapi sakaratul-maut dan di sisinya ada sebuah mangkuk berisi air, kemudian beliau memasukkan tangannya kedalam air sambil berdoa : "Ya Allah! berikanlah pertolongan kepadaku untuk menghadapi kepedihan mati dan sakaratul-maut". (Riwayat Tirmizi)

Mari amalkan doa ini, moga Allah memberi pertolongan dan kemudahan kepada kita pada masa menempuhi sakaratul maut nanti.

“Allah humma haw win ‘alai na fii sakara til maut”.
(Ya Allah, permudahkanlah kami menghadapi sakaratul maut).

Jangan lupa meminta ampun kepada Allah di saat menhadapi sakaratul maut kerana pintu taubat masih terbuka selagi roh belum sampai ke halkom. Jika tidak dapat disebut dengan mulut, ucapkan di dalam hati, “Astagh firullah” atau “Ya Allah ampunkan dosa-dosa aku”.

Di ketika ini kalimah yang perlu sering dilafazkan ialah “LA ILA HA ILLALLAH”.

Diharapkan ada ahli keluarga yang akan mengingatkan dan mengajarkan kita untuk menyebut “LA ILA HA ILLALLAH” di saat genting sakaratul maut nanti.

Nabi saw. bersabda, “Sesiapa yang akhir ucapannya: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّه “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah”, dia akan dapat masuk syurga”. [HR Abu Daud 3/190. Sahih Al-Jami' 5/432].

Ibnu Arabi, seorang ulama tasawuf dan ahli tafsir, waktu sedang sakaratul maut, anaknya telah mentalkinkan “LA ILA HA ILLALLAH”, beliau sebaliknya menjawab, " Tidak!!! Tidak!!! Tidak!!! " Kejadian itu sangatlah mengejutkan anaknya. Setelah agak lega sedikit, dia meminta air, lalu dihulurkan oleh anaknya. Anaknya bertanya, " Mengapa bapa menafikan kalimah syahadah? " Beliau menjawab, " Oh, tidak anakku, aku tidak mendengarnya melainkan suara syaitan yang mengajak aku megikut agama Nasrani dan Yahudi! "

Pada saat sukar ini juga, iblis pula akan datang berusaha buat kali terakhir untuk menyesatkan kita.

Jika kita terpedaya dengan pujuk rayu iblis ketika sakaratul maut maka amatlah rugi kerana mendapat kesudahan yang buruk (Su ul hotimah).

Jika kita berjaya mengatasi tipu helah iblis ketika itu maka dapatlah kita kesudahan yang baik (Husnul hotimah).

Mari amalkan doa ini, moga Allah menolong kita untuk berjaya mendapat Husnul hotimah.

“Robbana la tu ziq qulu bana bak da iz hadai tana wahab lana mil ladunka rahmah innaka antal wahab”
(Ya Allah, ya Tuhan kami, janganlah kiranya Engkau pesongkan iman kami sesudah Engkau kurniakan kepada kami petunjuk. Anugerahilah kami rahmat kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia.)

“Allah humma tim lana bi husnil hotimah, Wala tah tim ‘lai na bi su il hotimah”
(Ya Allah, dapatkanlah kami kesudahan yang baik dan jauhilah kami dari kesudahan yang buruk)


Kepada Allah berserah.

Tidak Dapat Mencium Bau Syurga



Nabi saw. bersabda, “Sesiapa membunuh kafir zimmi maka tidak akan mencium bauan syurga. Sesungguhnya bauan syurga itu boleh didapati sejauh perjalanan 40 tahun”. (HR Ahmad)

Nabi saw. bersabda, “Sesiapa membunuh putera mahkota yang telah ditabalkan, tidak akan mencium bau syurga. Sesungguhnnya bauan syurga itu boleh dicium sejauh perjalanan 40 tahun.” (HR Bukhari)
Nabi saw. bersabda, "Tiada seorang manusia yang Allah memberikannya kuasa pemerintahan, kemudian dia tidak memberikan nasihat (kepada rakyatnya), dia tidak akan dapat mencium bau syurga" (HR Bukhari dan Muslim )

Nabi saw. bersabda, “Akan ada satu kaum yang mewarnakan rambut mereka dengan warna hitam seperti hitam yang ada pada kebiasaan dada burung merpati (kerana menutup warna uban), mereka tidak akan mencium bau syurga.“ (HR Abu Daud)

Nabi saw. bersabda, “Sesiapa yang mengubah nama ayah atau keturunannya dan mendakwa selain ayahnya yang sebenar, tidak akan mencium bau syurga. Sesungguhnya bauan syurga itu boleh dicium sejauh perjalanan 500 tahun” (HR Ibnu Majah)

Nabi saw. bersabda, “Perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang, cenderung kepada kemaksiatan dan membuat orang lain juga cenderung kepada kemaksiatan, perempuan tersebut tidak akan masuk syurga, bahkan tidak akan mendapat mencium baunya, Sesungguhnya bau syurga itu boleh dibaui dari jarak sejauh perjalanan 500 tahun”. (HR Muslim)

Nabi saw. bersabda, “Mana-mana wanita yang meminta talak dari suaminya tanpa alasan (syar’ie) maka haram atasnya bauan syurga.” (HR Abu Daud)

Nabi saw. bersabda, “Bauan syurga dapat dihidu sejauh perjalanan 1000 tahun . Demi Allah, tidak akan merasainya, orang yang menderhaka kepada ibu bapa dan orang yang memutuskan silaturrahim.” (HR Tabrani)

Bertaubatlah sebelum terlambat !

Wallahu 'alam.

Tutup Aib Sesama Muslim

Nabi saw. bersabda, "Seorang muslim itu adalah saudara muslim lainnya, dia tidak boleh menzaliminya dan menghinakannya. Sesiapa yang membantu keperluan saudaranya maka Allah akan memenuhi keperluannya. Sesiapa yang melapangkan satu kesusahan seorang muslim maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan hari kiamat nanti. Dan sesiapa yang menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat". (HR Muslim)

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Surah al-Hujurat ayat: 6)

Nabi saw. bersabda, "Sesiapa yang mendengar saudaranya diumpat tetapi dia tidak membelanya padahal dia mampu, maka dia ikut menanggung dosa umpatan itu di dunia dan di akhirat. (Hadith Asfahani)

Nabi saw. bersabda, "Sesiapa menutupi suatu kesalahan orang lain, maka seolah-olah dia telah menghidupkan seorang anak yang ditanam hidup-hidup dalam kuburnya." (HR Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Hibban)

Nabi saw. bersabda, "Sesiapa dari kalangan orang Islam yang tidak membela orang Islam lain apabila kehormatannya dicerobohi dan nama baiknya dicacati maka niscaya Allah membiarkan nasibnya ketika dia sangat memerlukan pertolongan Allah. Dan mana-mana orang Islam yang menolong orang Islam lain ketika nama baiknya dan kehormatannya diceroboh niscaya Allah akan menolongnya ketika dia sangat-sangat memerlukan pertolonganNya. " (HR Abu Daud)

Nabi saw. bersabda, "Sesiapa yang mempertahankan maruah saudaranya ketika saudaranya itu tidak ada di hadapannya maka wajiblah Allah melepaskannya dari siksa neraka. " (HR Ahmad)



Nabi saw. bersabda, "Sesiapa yang menutupi kesalahan seorang muslim maka Allah menutupi kesalahannya di dunia dan di akhirat. (HR Ibn Majah)

Moga ada manfaat.