CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday 14 August 2011

Adab berpuasa dan solat tarawih



Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:
1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;
2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;
3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;
4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)
Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai’, sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);
5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;
6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.
Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.
Kenyang
Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..
Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)
Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”
As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;
7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;
8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.
Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);
9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)
10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.
Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.
Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib’ solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.
Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.
Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai . Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)

JIHAD PALING BESAR MELAWAN HAWA NAFSU



Semua maklum bahawa hukum berjihad adalah wajib, tetapi bagaimana kedudukannya dalam Islam? Di dalam Islam kedudukan jihad jatuh nombor tiga setelah rukun Iman dan rukun Islam.
Mengapa jihad itu dianggap besar? Setelah Rukun Iman dan Rukun Islam, jihad adalah yang paling utama, dia menjadi nombor satu, dia jadi besar. Mengapa?
Kita cuba ambil satu ayat Quran, Allah berfirman, “Innallahastara minal mukminina anfusahum waamwalahum liannahumul jannah. “
Maksudnya, “Sesungguhnya Allah akan membeli pada diri orang-orang beriman itu dirinya dan harta-hartanya dengan balasan syurga “.
Itu tawaran Allah, karena jihad itu besar maka disuruh beli. Jihad itu ada yang lahir ada yang batin. Dari segi lahirnya jihad menentukan hidup mati Islam. Kalau ada jihad hiduplah, kalau tidak ada jihad matilah. Dari segi batin, jihad menentukan seseorang itu terbangun insaniahnya atau sebaliknya. Tidak ada jihad punahlah insaniahnya.
Jihad secara lahiriah semua sudah tahu iaitu membangun ekonomi Islam, membangun sistem hidup Islam, membangun pendidikan Islam, membangun kebudayaan Islam, membangun kesihatan Islam, berperang jika terpaksa dan lain-lain. Tetapi Rasulullah SAW sangat menekankan tentang adanya jihad yang batin, maknawi atau jihad melawan hawa nafsu. Ketika balik dari satu peperangan yang dahsyat melawan kaum musyrikin, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
Kita baru kembali dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang lebih besar. Sahabat terkejut dan bertanya, “Peperangan apakah itu wahai Rasulullah ? ” Baginda berkata, “Peperangan melawan hawa nafsu.” (Riwayat Al Baihaqi)
Rasulullah mengajak kita untuk meninggalkan satu peperangan, satu perjuangan atau satu jihad yang kecil untuk dilatih melakukan satu perjuangan atau jihad yang besar iaitu jihad melawan nafsu. Orang yang berperang melawan nafsu ini nampak seperti duduk-duduk saja, tidaklah sesibuk orang lain, tapi sebenarnya sedang membuat kerja yang besar iaitu berjihad melawan nafsu.
Melawan hawa nafsu atau mujahadatun nafsi sangat susah. Mungkin kalau nafsu itu ada di luar jasad kita dan bisa kita pegang, mudahlah kita menekan dan membunuhnya sampai mati. Tetapi nafsu kita itu ada di dalam diri kita, mengalir bersama aliran darah dan menguasai seluruh tubuh kita. Karena itu tanpa kesedaran dan kemahuan yang sungguh-sungguh kita pasti dikalahkan untuk diperalat sekehendaknya.
Nafsu jahat dapat dikenal melalui sifat keji dan kotor yang ada pada manusia. Dalam ilmu tasawuf, nafsu jahat dan liar itu dikatakan sifat mazmumah. Di antara sifat-sifat mazmumah itu ialah sum’ah, riya’, ujub, cinta dunia, gila pangkat, gila harta, banyak bicara, banyak makan, hasad, dengki, ego, dendam, buruk sangka, mementingkan diri sendiri, pemarah, tamak, serakah, bakhil, sombong dan lain-lain. Sifat-sifat itu melekat pada hati seperti daki melekat pada badan. Kalau kita malas menggosok sifat itu akan semakin kuat dan menebal pada hati kita. Sebaliknya kalau kita rajin meneliti dan kuat menggosoknya maka hati akan bersih dan jiwa akan suci.
Nafsu itulah yang lebih jahat dari syaitan. Syaitan tidak dapat mempengaruhi seseorang kalau tidak meniti di atas nafsu. Dengan kata lain, nafsu adalah ‘highway’ atau jalan bebas hambatan untuk syaitan. Kalau nafsu dibiarkan, akan membesar, maka semakin luaslah ‘highway’ syaitan. Kalaulah nafsu dapat diperangi, maka tertutuplah jalan syaitan dan tidak dapat mempengaruhi jiwa kita. Sedangkan nafsu ini sebagaimana yang digambarkan oleh ALLAH sangat jahat.
” Sesungguhnya hawa nafsu itu sangat membawa pada kejahatan “
(Yusuf: 53)
Dan ini dikuatkan lagi oleh sabda Rasulullah; “Musuh yang paling memusuhi kamu adalah nafsu yang ada di antara dua lambungmu “.
Nafsu inilah yang menjadi penghalang utama dan pertama, kemudian barulah syaitan dan golongan-golongan yang lain. Memerangi hawa nafsu lebih hebat daripada memerangi Yahudi dan Nasrani atau orang kafir. Sebab berperang dengan orang kafir cuma sekali-sekali.
Nafsulah penghalang yang paling jahat. Mengapa? Kalaulah musuh dalam selimut, itu mudah dan dapat kita hadapi. Tetapi nafsu adalah sebahagian dari badan kita. Tidak sempurna diri kita jika tidak ada nafsu. Ini yang disebut musuh dalam diri. Sebahagian diri kita, memusuhi kita. Ia adalah jizmullatif – tubuh yang halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kepala, hanya dapat dirasa oleh mata otak (akal) atau mata hati. Oleh itu tidak dapat kita buang. Sekiranya dibuang kita pasti mati.
Nafsu adalah penghalang yang besar. Kalau hendak solat bukan mudah untuk mujahadah. Akhirnya terlambat solat subuh. Siapa yang membisikkan kepada kita? Itulah nafsu. Bukan mudah hendak berjuang dan berkorban. Bukan mudah hendak sabar apabila berhadapan dengan ujian. Bukan mudah untuk sabar, tidak berdendam dan membalas kejahatan musuh dengan doa dan kebaikan. Bukan mudah sebab nafsu tidak mahu. Begitu juga tidak mudah untuk menahan marah dan hendak memberi maaf orang yang berbuat salah dengan kita? Kita rasa terhina hendak memaafkan orang yang bersalah dengan kita. Lebih-lebih lagi kita yang bersalah, hendak minta maaf lebih sukar lagi. Terasa tergugat ego kita. Lebih-lebih bila ada jabatan dan pengaruh. Bukan mudah untuk ikut syariat, jika nafsu mengatakan jangan. Sebab itu barang siapa yang berjaya melawan hawa nafsu ia dianggap wira, hero atau pahlawan. Dianggap orang berani dan luar biasa. Sebab itu ada Hadis yang mengatakan;
“Tidak dianggap seseorang itu berani bila ia dapat mengalahkan musuhnya, tetapi dianggap berani, jika seseorang itu dapat melawan hawa nafsunya.
” Bukannya seperti yang terjadi hari ini, gelar “Tokoh” atau “wira” yang dikurniakan kepada seseorang, bila kita tinjau kehidupan mereka, kebanyakan mereka yang sudah dikalahkan oleh hawa nafsu. Itulah wira yang palsu. Wira yang sebenarnya wira ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya. Inilah yang dikatakan pejuang yang hakiki. Selama hawa nafsu tidak dapat diperangi selama itulah seseorang tidak akan tertuju kepada ALLAH. Tidak akan dapat benar-benar berkhidmat kepada ALLAH. Tidak akan jatuh cinta dengan ALLAH. Tidak akan memberi ketaatan yang sesungguhnya kepada ALLAH. Kalau nafsu tidak diperangi, tidak akan dapat hidup dalam kebenaran. Hidup dalam pimpinan ALLAH. Firman Allah dalam Al Qur’an maksudnya :
“Mereka yang berjuang untuk melawan hawa nafsu karena hendak menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjuki jalan Kami. Sesungguhnya ALLAH itu beserta dengan orang yang buat baik”.
Ini jaminan dari Allah. Siapa sanggup melawan hawa nafsu, Allah akan tunjukkan satu jalan hingga diberi kemenangan, diberi bantuan dan tertuju ke jalan yang benar. Inilah rahsia untuk mendapat pembelaan dari Allah.
Ertinya mereka mendapat pembelaan dari Allah sejak di dunia. Jadi siapa saja yang sanggup melawan hawa nafsu, dia adalah rijalullah (orang Allah, keluarga Allah, kepunyaan Allah, tentera Allah) Siapa yang menjadi kepunyaan Allah atau tentera Allah, dia akan dibantu oleh Allah. Tapi selama belum menjadi tentara Allah, sebaliknya menjadi tentera manusia atau tentera syaitan, Allah akan biarkan. Kalau diberi kemenangan, atas dasar kuat, bukan atas dasar bantuan. Manakala yang lemah akan diberi kekalahan.
Jadi seseorang itu mesti sanggup melawan hawa nafsu. Kalau tidak, banyak ajaran Islam yang terabaikan, banyak perintah ALLAH yang dilalaikan. Bila tidak dapat melawan hawa nafsu, banyak larangan ALLAH yang akan terbuat. Jadi hanya dengan melakukan mujahadatunnafsi, barulah ajaran Islam itu dapat kita amalkan sungguh-sungguh dan barulah maksiat lahir dan batin dapat kita tinggalkan, karena nafsu yang sangat menghalang itu sudah tidak ada lagi. Nafsu itu sudah kita didik, sudah kita kalahkan, dan sudah menjadi tawanan kita.

Hukum Memakai Wangian


Wangian lelaki
Disunatkan lelaki memakai berwangi -wangian dengan minyak wangi, bedak dan sebagainya kerana hadis daripada Abi Ayyub r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
أربع من سنن المرسلين: الحياء والتطعر والسواك والنكاح
Maksudnya: Empat perkara daripada sunnah para rasul: 1. Perasaan malu 2. memakai wangian 3. bersiwak 4. bernikah (Hadis daif- Tirmizi, Ahmad dan Baghawi)
حبب إلي من دنياكم النساء والطيب وجعلت قرة عين في الصلاة
Maksudnya: “Tiga perkara yang disukai oleh ku daripada dunia 1. Wanita yang halal 2. wangian 3. rasa seronok dalam solat.” (Hr Ahmad, Hakim dan Baihaqi- hadis hasan)
Wangian lelaki disunatkan yang tidak berwarna samada di dalam atau diluar rumahnya. Nabi s.a.w bersabda:
طيب الرجال ما ظهر ريحه وخفي لونه وطيب النساء ما خفي ريحه وظهر لونه
Maksudnya: wangian lelaki apa yang jelas baunnya dan tersembunyi warnanya dan wangian perempuan apa yang tersembunyi baunya dan nyata warnanya. (hr Tirmizi dan Ahmad- hasan)
Wangian wanita
Diluar rumah atau bersama orang yg bukan mahram hendaklah wanita memakai wangian yang baunya untuk diri sendiri dan tidak dihidu oleh orang lain seperti hadis yang lepas. Dilarang sama sekali memakai minyak wangi sehingga di hidu oleh lelaki yg bukan mahram. Nabi s.a.w bersabda:
أيما إمرأة استعطرت فمرت بقوم ليجدوا ريحها فهي زانية
Maksudnya: Mana-mana wanita yang memakai wangi-wangian dan lalu pada sekumpulan manusia supaya lelaki tadi itu menghidu bau wanginya maka wanita tadi medapat dosa zina. (Hr Tirmizi dan Ahmad- hasan)
Bukanlah wanita itu dilarang sama sekali menggunakan bau-bauan bila dia keluar tetapi yang dilarang adalah yang sehinggu dihidu oleh orang sekilingnya. Janganlah wanita itu meninggalkan bau-bauan sehingga menyebarkan bau yang tidak elok kepada sekitarnya.
Wangian Rasulullah
Rasulullah adalah mempunyai tubuh yang bau yang wangi dan segar yang semula jadi. Wangian ini melebihi wangian yang wujud di dunia ini. Anas r.a menceritakan :
ما شممت عنبرا قط ولا مسكا ولا شيئا أطيب من ريح رسول الله
Maksudnya: “Aku tidak pernah menghidu wangian anbar, kasturi dan apa jua wangian yang lebih wangi dari bau Rasulullah s.a.w.” (Hadis sahih Bukhari Muslim)
Walaupun begitu baginda tetap memakai minyak wangi yang dipanggil sukkah (Hr Abu Daud – sanad hasan).
Makruh menolak pemberian wangian
Jika seseorang diberi wangian sperti minyak wangi, bedak dan sebagainya maka disunat dia menerimanya. Nabi s.a.w diriwayatkan dalam hadis bahawa baginda tidak menolak pemberian minyak wangi (HR Bukhari). Nabi s.a.w bersabda:
من عرض عليه ريحان فلا يرده
Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang dipelawa minyak wangi janganlah dia menolak.” (Hr Muslim)
Rujukan: Mausuah Feqhiah oleh kementerian agama Kuwait, Ittihaf Ahlil Wafa oleh Abdur Qadir at-Talidi, Tuhfatul Ahwazi oleh al- Muabarakfuri, musnad Imam Ahmad dan Feqhul Albisah waz Zinah oleh Abdul Wahhab.

Rahsia jiwa wanita yang tercela


TABIAT ULAR
Menaruh dendam apabila mendengar sesuatu yg jahat tentang suami atau dirinya. Maka akan berkelahilah dia dengan orang lain.
TABIAT TIKUS
Dia adalah seorang wanita yg suka mencuri harta suaminya sendiri.
TABIAT KERA
Suka memakai baju berwarna merah, hijau dan kuning. Dia tidak suka memakai emas dan perak. Dia suka membesarkan diri di hadapan ramai.
TABIAT SERIGALA
Apabila suami ada di rumah, dia pura-pura menidurkan dirinya. Bila datang suaminya, dia akan berkata bahawa suaminya pergi berhiburan sedangkan dia sakit di rumah.
TABIAT ANJING
Suka memalingkan muka apabila bercakap dengan suaminya. Suka membantah dan mengherdik suami. Jika dia melihat suaminya berharta, dia mengasihi. Jika tiada berharta, dia akan menista dan membenci suaminya.
TABIAT KELDAI
Dia seorang wanita yang penakut. Namun, suka bersolek dan mencantikkan diri.
TABIAT KHINZIR
Wanita yang tiada berbuat baik. Suka makan minum sahaja untuk memenuhkan perutnya. Dia juga suka menjahanamkan harta suami dan tiada mahu berbuat ibadah.
TABIAT UNGGAS (BURUNG)
Suka berjalan dan berhiburan. Tetapi bila suaminya pulang, dia cemburu.
TABIAT KALA
Wanita yg sentiasa mengumpulkan jiran untuk mengumpat, mengadu, berbantah serta berbuat fitnah.
TABIAT KAMBING
Dia isteri yang berguna dan solehah. Dia mengasihi suaminya serta orang lain. Dia suka berbakti.

Tuesday 2 August 2011

Hafazan Quran – Satu Usaha Yang Boleh!


Di sini ada beberapa cadangan & langkah utk terus menghafal Al-Quran.
Ada sahabat mencadangkan:
  • 1 hari hafaz 5 hingga 10 ayat. Cuba dengan yang sedikit dahulu atau terus konsisten pun tidak mengapa iaitu paling biasa sebanyak 5 ayat.
  • Maka 90 hari atau 3 bulan kemudiannya akan berhasil hampir 5 juz daripada Al Quran. Apa pun kira-kiranya, usaha dengan 5 ayat itu perlu dimulakan. Bimbang jika bilangan ayat terlalu banyak dihafaz akan memberatkan otak untuk aktiviti storan maklumat.
Berkenaan masa yang dicadangkan pula adalah:
  • Sebelum Subuh: Hebat waktu ni, tinggal mahu dan mampu isunya – 5.00am hingga 5.30am.
  • Pagi: Selepas solat Subuh – 6.00 am hingga 6.30 am – sesuai sebelum ke tempat kerja.
  • Tengahari: Selesai solat Zohor atau sebelumnya jika menunggu waktu – 12.30 pm hingga 1.00 pm/adjust nanti.
  • Petang: Selesai solat ‘Asar – 5.00pm hingga 5.30 – lepas tu boleh riadhah :-)
  • Malam: Selesai solat Maghrib – 7.45pm hingga 8.15pm
  • Sebelum Tidur: Antara 12.00am hingga 12.30am jika tidur awal begini.
Semua di atas boleh disesuaikan dengan peribadi.
Ada pula yang berkata pada saya masa tidur dan makan juga perlu diawasi serta menu makanan harus dilihat teliti.
Pelbagai teknik menghafaz Quran disarankan antaranya teknik ‘chunking‘ iaitu teknik memisahkan hafazan ayat panjang kepada beberapa bahagian yang sesuai mengikut kesesuaian makna ayat, selembar mukasurat kepada beberapa bahagian (2 atau 3 bahagian) yang sesuai, surah kepada beberapa bahagian, contohnya mengikut pertukaran cerita, juz kepada beberapa bahagian mengikut surah, hizib, rubu’, cerita dan sebagainya dan pisahkan Al-Qur’an kepada kelompok surah, setiap 10 juz dan sebagainya.
Teknik ‘keyword‘ juga bagus sebab saya turut ingat surah ayat yang panjang dengan mengingati ayat atau kata istimewa dalam satu-satu surah. Teknik -tasmi’- penting sebab ianya adalah teknik bersama penyemak bacaan tentang apa yang telah kita hafazkan. Penyemak bacaan kita akan betulkan tajwid dan makhraj bacaan kita. Elok juga jika ada teman yang bersama menghafaz untuk konsisten usaha menghafaz dan beramal bersama.
Teknik ‘writing‘ atau menulis semula apa yang telah dihafaz juga agak menarik.Tidak tertinggal juga teknik ‘mindmapping‘. Saya kurang arif teknik ini.
Berkenaan mengekalkan hafazan, berikut sebahagian langkah:
  1. Jauhi maksiat mata, maksiat telinga dan maksiat hati.
  2. Banyak berdoa, terutama waktu mustajab doa seperti ketika berbuka puasa, ketika belayar, selepas azan dan lain-lain lagi.
  3. Kerjakan solat hajat kepada Allah. (Adik Yong Jin Dian selalu ingatkan saya, moga Islam dia sedikit masa lagi)
  4. Kerjakan solat Taqwiyatul hifz.
  5. Menetapkan kadar bacaan setiap hari, contohnya, selembar, setengah juz, 1 juz dan sebagainya.
  6. Membaca pada waktu pagi dan mengulangnya pada waktu malam.
  7. Jangan membaca ketika sedang bosan, marah atau ngantuk.
  8. Menulis setiap ayat yang mutasyabih.
Saya berharap hafazan saya dan sekalian pembaca sebelum ini tidak hilang dan berturutan dengan amalan dalam hidup yang berbaki. Moga tidak hanya tinggal menjadi teori dalam entri ini.
Untuk memudahkan hafazan, perlu juga kepada pengetahuan tajwid agar bacaan itu tepat dan betul makhraj (tempat keluar) hurufnya pada bacaan. Sedikit ilmu itu boleh dilihat di sini. (Hukum Tajwid – klik)

Kelebihan Membaca Al-Quran dan Berzikir

Daripada Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah s.a.w, ”Sesungguhnya hati ini berkarat seperti mana berkaratnya besi apabila terkena air, seorang sahabat bertanya, “bagaimana menghapuskan karat tersebut’? Jawab Nabi s.a.w., banyakkan menyebut mati dan membaca al-Quran.

Rumah yang jika dibaca di dalamnya al-Quran, akan dikunjungi para Malaikat dan dijauhi syaitan dan selesa kehidupan ahli rumah tersebut dan banyak kebaikan dan kurang kejahatan dan ada pun rumah yang tidak dibaca di dalamnya al-Quran dikunjungi para syaitan dan dijauhi para Malaikat. Tidak selesa kehidupan ahli rumah tersebut, sedikit kebaikan dan banyak kejahatan.

Suatu riwayat yang dikeluarkan oleh Imam Muslim, mengatakan pernah Rasulullah s.a.w berlalu seraya melihat satu halaqah (perkumpulan) para sahabat, lalu baginda berujar: Apakah gerangan kamu berkumpul di sini? Jawab mereka: “Kami duduk berzikir kepada Allah Azzawajalla yang telah memberi petunjuk dengan Agama Islam, dan telah bermurah hati atas kami dengan hidayatnya. Ujar baginda: “Demi Allah, benarkah itu yang menyebabkan kamu berkumpul itu? Jawab mereka: “Demi Allah, kami tidak berkumpul di sini melainkan atas tujuan itu semata-mata.” Ujar baginda pula: “Sebenarnya aku tidak meminta kamu bersumpah kerana aku masih meragukan kebenaran kamu, tetapi Jibril a.s. telah mendatangiku dan memberitahuku, bahawasanya Allah Ta’ala memuji-muji kamu di hadapan para Malaikat.”

Dalam satu riwayat lain dikeluarkan oleh al-Hakim, bahawa Rasulullah s.a.w. mendapati suatu kelompok orang sedang berzikir kepada Allah Ta’ala, maka ujar baginda: “Apa yang kamu bicarakan, sesungguhnya aku lihat rahmat Allah sedang menghujani kamu, dan aku pun ingin menyertai kamu sekalian.”

Pernah satu ketika seorang sahabat Rasulullah saw, Ibnu Masud didatangi oleh seorang lelaki yang raut wajahnya murung (berduka). Lalu lelaki itu berkata: "Wahai Ibnu Mas'ud, berikanlah kepadaku satu nasihat yang dapatku jadikan sebagai penawar untuk hatiku yang gelisah ini. Sejak akhir-akhir ini, perasaanku tidak begitu tenteram, jiwaku sentiasa gelisah, fikiranku juga selalu kusut. Aku tidak selera hendak makan, tidurku pun tidak lena."

Mendengar itu Ibnu Mas'ud terus berkata: "Sekiranya itulah penyakit yang menimpa jiwamu, maka hendaklah kamu bawa hatimu mengunjungi tiga tempat iaitu , tempat orang membaca al Quran sama ada kamu membacanya atau kamu mendengarnya. Kedua, majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah dan ketiga, carilah tempat dan waktu yang sesuai supaya kamu dapat beribadat kepada Allah SWT dengan khusyuk dan tulus ikhlas."

Sebenarnya segala-galanya berbalik pada hati kita ini. Sebab itu kita perlu banyak berdoa agar hati kita sentiasa dekat dengan Allah SWT. Hanya dengan doa barulah kita boleh khusyuk dan cubalah amalkan doa ini yang mafhumnya: "Ya Allah Ya Tuhanku , sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada hati yang tidak khusyuk, dan doa yang tidak didengari, dan daripada nafsu yang tidak puas serta ilmu yang tidak bermanfaat. Aku berlindung dengan-Mu daripada empat perkara itu."

Selain pahala dan rahmat Allah yang kita perolehi dari membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah Ta’ala, kita juga akan menambah ilmu pengetahuan agama, menguatkan iman, menempa ketenteraman, menghapuskan dari hati segala perkara yang merungsingkannya. Ini adalah mujarab bagi orang yang biasa membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah Ta’ala, kerana al-Quran dan zikrullah itu menjadi jampi dan penawar bagi semua penyakit hati dan ketidak-tenteraman jiwa dan fikiran.

KELEBIHAN BACA AL-QURAN

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Al-Quran adalah Kalamullah yang Qadim, sebaik-baik di dunia mahupun di akhirat. Orang yang meninggalkannya kerana sombong, maka Allah SWT menghancurkannya. Barangsiapa mencari petunjuk selain Al-Quran , maka Allah SWT menyesatkannya. 


Menghafaz Al-Quran fardhu kifayah ke atas umat dan haram meluputkan bilangan ayatnya yang tersedia serta juga jangan sekali-kali mengubah dan menyelewengkan ayat-ayatnya. Jika sudah menghafaznya lalu lupa, maka berdosa. Begitu juga mengajar Al-Quran adalah merupakan fardhu kifayah yang sebaik-baik taqarrub kepada Allah dan sebaik-baik amal soleh. Di dalam satu hadith soheh dari Rasulillah SAW yang bermaksud ; ["sebaik-baik kamu orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya"]


Imam At-Tarmizi meriwayatkan dari mengatakan Abi Sa'id Al-Khudri sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ["Firman Ar-Rabb (Allah SWT) 'Azzawajalla": "Barangsiapa yang menyibukkan diri dengan Al-Quran kerana mengingatiKu dan kerana meminta padaku, nescaya Aku akan berikan selebih-lebih baik daripada semua orang yang meminta padaKu. Dan kelebihan Kalam Allah itu ke atas semua Kalam seperti kelebihan Allah ke atas makhlukNya"].


Oleh kerana itu, barangsiapa dikurniakan Al-Quran, maka dia dikurniakan selebih-lebih baik nikmat dan ajalnya. Adalah merupakan paling layak dengan keselamatan yang sedikit pun tiada kecacatan dan sentiasa menerangi manusia. Padahal rasa hasad (dengki dan cemburu seseorang itu) akan orang yang diberikan nikmat harta, lalu di menginfakkan pada jalan Allah. Kebenaran bagi sabda Nabi SAW: ["Tiada rasa hasad (dengki) kecuali pada dua perkara:iaitu seseorang yang Allah berikan Al-Quran, lalu dia mendirikan (membaca) ketika malam dan siang: (seterusnya yang kedua) seoran yang Allah berikan harta, lalu dia meninfakkan ketika malam dan siang"].


Imam At-Tarmizi, Imam Ibnu Majah, Imam Ahmad meriwayatkan daripada satu hadith yang bermaksud: ["Barangsiapa membaca Al-Quran, lalu menzahirkannya (menyatakannya), dan dia menghalalkan yang dihalalkan serta mengharamkan yang diharamkan, nescaya Allah masukkannya ke Syurga, dan juga dia boleh memberikan syafaat pada 10 ahli keluarganya yang ditimpa neraka"].


As-Syaikhan meriwayatkan dari Nabi SAW yang bahawasanya beliau bersabda: [" perumpamaan orang beriman yan membaca Al-Quran seumpama sebiji buah yang sejenis dengan limau yang baik rasanya dan baunya juga baik. Perumpamaan orang beriman yang tidak membaca Al-Quran seumpama buah tamar yang baik rasanya dan tiada kedapatan baunya. Perumpamaan orang keji yang membaca Al-Quran seumpama tumbuh-tumbuhan yang harum baunya, tetapi baik baunya dan makananya basi. (Dan akhir sekali) bagi perumpamaan oran keji yang tidak membaca Al-Quran seumpama labu pahit yang basi makanannya dan tidak terkedapatan baunya"].


Dan sabdanya lagi: ["Barangsiapa yang telah membaca Al-Quran satu huruf daripada Kitab Allah, maka baginya satu ganjaran pahala. Dan satu ganjaran menyamai 10 bandingan. Tidak aku katakana alif, lam, mim itu satu huruf; akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf"]-Riwayat Imam At-Tarmizi dan beliaumengatakan hadith ini Hasan Soheh. 


Dan sabdanya lagi: ["Dikatakan bagi yang membaca Al-Quran, nescaya bacalah, lembutkan bacaanmu dan bacalah dengan tertil (elok dan betul), sebagaimana engkau tertilkan (elokkan dan betulkan) di dunia, maka bahawasanya martabat di sisi akhir ayat yang engkau membacanya].


Nabi SAW sentiasa memberi ransangan yang dhaif (lemah) bacaannya. Baginda suka mengubatinya dan mengira juga 2 ganjaran pahala. Satu ganjaran pahala bagi yang dia mencubanya dan payah membacanya. Satu ganjaran lagi adalah kerana dia membaca. Maka sabda baginda: ["Bagi yang mahir dengan Al-Quran beserta 1 pelayaran yang semulia-mulianya lagi sebaik-baiknya. Dan bagi orang yang membaca Al-Quran serta gagap yang dia itu menerima kepayahan, nescaya baginya 2 ganjaran pahala]-{Riwayat Syaikhan}.


Kelebihan juga bacaan Al-Quran bagi orang yang membanyakkan tempat agar ada kebaikan pada tempat-tempat tersebut. Dimana sabda Nabi SAW: [Rumah yang dibaca padanya Al-Quran, nescaya keluar melihat bagi ahli langit sebagaimana keluar melihat bagi ahli bintang bagi ahli bumi]. Ia diriwayatka oleh Imam Baihaqi daripada hadith 'Aesyah RA dan diriwwayatkan oleh daripada hadith Anas RA: [Terangilah rumah-rumah kamu dengan sembahyang dan membaca Al-Quran].


Riwayat oleh Al-Bizdar daripada hadith Anas: [Bahawasanya rumah yang dibaca padanya Al-Quran banyak kebaikannya, dan rumah yang tidak dibaca padanya, nescaya kurang baiknya].


Beberapa dalil yang dapat saya pertonjolkan di sini memberi makna yang amat luas buat kita semua. Al-Quran ini bukan sekadar dibaca, tetapi perlu diamalkan kehendak ayat yang dibaca. Dengan ini, memahami isi kandungan Al-Quran tersebut untuk direalisasikan dan dipraktikalkan adalah juga menjadi tuntutan. Kalau hanya dibaca sudah tentu banyak kelebihan yang dapat sebagaimana dalil yang saya nyatakan tadi. Jadi apatah lagi kita memahami, mengkaji dan direalisasikan maknanya secara praktikal. 


Perlu diingat akhir zaman ini ramai golongan umat Islam yang membaca Al-Quran, tetapi ramai yang tidak mengamalkan isi kandungan Al-Quran itu sendiri. Apapun kita perlu sentiasa mendampingi para 'Alim Ulama' supaya kita dapat memahami dengan lebih jelas ajaran Islam itu sendiri dengan adanya sumber rujukan utama bagi umat Islam ini iaitu Al-Quran. Kalau tidak dapat berdamping selalu dengan ulama pun cukuplah dengan mengambil intipati hasil karya para Ulama' ini. Ibarat satu pepatah daripada Imam Hassan Al-Basri: Jikalau tidak kerana Ulama' nescaya jadilah manusia umpama binatang. Dari itu, saya harap semua pihak baik apapun kerjanya, samada ahli sains, jurutera, ahli kaji bintang, atau apa-apapun mestilah berpaksikan untuk menuju dan mencari keredhaan Allah SWT. Dan untuk mencari keredhaan Allah itu mestilah dengan jalan apa yang Rasulullah SAW bawakan dengan bersama mukjizatnya yang paling besar iaitu Al-Quranul Karim. Wa'allahu'alam. 

Fadhilat membaca surah Al-Mulk

SURAH Al Mulk (beerti Kuasa Pemerintahan) merupakan Surah yang ke-67 di dalam Al Quran, mengandungi 30 ayat. Di antara isi kandungannya ditegaskan tentang kekuasaan mutlak Allah s.w.t. iaitu menguasai pemerintahan dunia dan akhirat. Seluruh alam telah diciptakan-Nya begitu rapi tanpa sebarang cacat celanya. Di akhirat kelak, mereka yang kufur ingkar akan mendapat balasan azab yang amat buruk dan menggerunkan. Mereka yang mentaati Allah akan mendapat keampunan dan balasan yang sebaik-baiknya.
Terdapat banyak hadis Rasulullah s.a.w. yang menyatakan tentang fadhilat, faedah dan hikmah bagi mereka yang mengamalkan membaca surah Al-Mulk ini. Di antaranya diriwayatkan oleh Abu Daud, At Tarmizi, An Nasa’i dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah yang bermaksud:
“Sesungguhnya di dalam Al Quran terdapat tiga puluh ayat yang kandungannya akan memberi syafaat kepada orang yang membacanya sehingga ia akan mendapat keampunan dosanya iaitu Surah Al Mulk.”
Daripada Ibnu Abbas r.a., seseorang sahabat Rasulullah s.a.w. menceritakan ia telah mendirikan khemah di atas kubur yang beliau tidak ketahui. Dari kuburan itu beliau terdengar suara orang membaca surah Al-Mulk sehingga khatam; beliau lalu menemui baginda dan berkata: “Wahai Rasulullah, saya dirikan khemah di atas sebuah kubur yang saya tidak ketahui, saya mendengar seorang sedang membaca Surah Al Mulksehingga khatam.”
Maka Nabi s.a.w. bersabda: “Itulah yang menahan (Al-Maa’inah) dan yangmenyelamatkan (Al-Manjiah) dia dari siksa kubur.”
(HR At Tarmizi)
Daripada Jabir r.a., sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak akan tidur sehingga baginda membaca surah Alif Lam Miim Al Sajdah dan Al Mulk.
(HR At Tarmizi)
Daripada Anas Ibnu Malik berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Satu surah di dalam Al Quran menghadiahkan kepada pembacanya sehingga memasukkannya ke dalam syurga iaitu Tabarak-al-llazhi.”(Surah Al-Mulk)
(HR At Tabrani)
An-Nasa’i juga meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda:“Sesiapa yang membaca Surah Al Mulk setiap malam maka Allah mencegahnya daripada azab kubur.”
Tentang surah ini ada satu riwayat yang lain menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hatiku menghendaki supaya surah ini berada didalam setiap hati orang-orang yang beriman.”
Mengikut satu hadis, seseorang yang membaca dua surah iaitu Tabarak-al-lazhi dan Alif-Lam-Mim-Sajdah di antara sembahyang Maghrib dan Isya adalah seumpama sesorang yang berdiri sembahyang untuk sepanjang malam Lailatul-Qadar. Adalah diberitakan juga bahawa jika seseorang itu membaca dua surah ini, tujuh puluh kelebihan akan diperolehinya dan tujuh-puluh dosa-dosa akan dihapuskan. Mengikut riwayat yang lain, jika seseorang itu membaca dua surah ini, ganjaran pahalanya adalah menyamai orang yang berdiri sembahyang sepanjang malam ‘Lailatul-Qadar’. Ini juga telah disebutkan di dalam Mazahir.
Ta’us rahmatullah ‘alaih telah berkata: “Kedua-dua surah ini mendatangkan enam-puluh kelebihan-kelebihannya yang mengatasi daripada segala surah-surah.”
Siksaan di dalam kubur bukanlah satu perkara yang biasa. Setelah meninggal dunia, tingkat pertama seseorang itu mesti lalui ialah alam barzakh. Apabila Saidina Uthman r.a. berdiri diatas sebuah kubur, ia akan menangis dengan begitu sekali sehinggalah janggutnya dibasahi air-matanya. Seseorang telah bertanya kepadanya mengapakah menangis begitu rupa jika disebut kubur daripada disebutkan Syurga atau Neraka.
Ia menjawab, “Aku telah mendengar dari Rasulullah s.a.w. bahawa kuburlah tempat persinggahan yang pertama untuk menuju akhirat. Barangsiapa terselamat daripada azabnya , peristiwa-peristiwa selanjutnya akan mudah baginya. Dan sesiapa yang tidak selamat daripada azab di dalamnya, kepadanya peristiwa yang akan datang kelak menjadikan lebih sukar sekali. Dan daku juga mendengar bahawa tidak ada satu gambaran yang lebih menakutkan dan menggerunkan selain daripada apa yang ada didalam kubur.”
Ya Allah ! Selamatkanlah kami daripada azab-Mu dengan keampunan-Mu..