CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday 20 September 2013

MENUMPANG BARAKAH JUMAAT

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِيم 


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera buat para pembaca yang saya hormati sekalian.
Segala puji bagi Allah s.w.t atas segala-galanya yang telah diberikan kepada kita terutama nikmat iman dan nikmat Islam. 
Mohonlah kepada Allah s.w.t tanpa jemu agar kita dihidupkan dengan iman, dimatikan dalam iman dan dimasukkan ke dalam syurgaNya dengan iman.
Iman, iaitu kepercayaan dan keyakinan yang dilafazkan dengan lisan, dibuktikan dengan amalan zahir dan membenarkan dengan hati. 
Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w....

Alhamdulillah. Ucapan syukur yang tidak terhingga buat Allah Jalla Wa ‘Ala. Jumaat yang penuh barakah. Masih diberi peluang meneruskan sisa hidup di dunia. Umur semakin bertambah, perjalanan semakin hampir ke perhentiannya. Ya Allah, pimpinlah aku menusuri perjalanan ini ke penghujungnya. Tika ini mungkin beringat, bimbang satu saat diri terleka dan terlepas bebas tanpa kawalan. Alangkah ruginya jika tidak sempat bertaubat. Ampuni hamba-Mu yang hina dan dina ini Ya Ghaffar.

Selawat dan salam buat junjungan mulia Sayyiduna Muhammad Sallallah ‘Alayh Wasallam. Tanda cinta, perbanyakkan selawat ke atas baginda. Budi dan jasanya tidak ada tandingan walau dihimpunkan seluruh umatnya sekalipun. Bisakah cinta bertandang andai peribadi agung itu tidak pernah dirindui? Akankah rindu berputik andai insan termulia itu tidak pernah dikenali. Mari bermuhasabah agar kita fahami erti kenal dan cinta yang benar. Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Alihi Muhammad.



Putaran masa pantas sekali. Mudah-mudahan umur ini sentiasa dimanfaatkan. Subhanallah, syukur hanya dipanjatkan kepada Ilah yang satu. Alhamdulillah, hari ini masih diizinkan untuk menikmati kurniaan-Nya. Mudah-mudahan imanku semakin menebal, amalku semakin bermutu, dan sujudku semakin berpanjangan. Ya Syakur, bimbinglah aku menjadi hamba-Mu yang syakur.Amin ya Rabb.

Menumpang barakah Jumaat yang mulia. Terasa bererti dan bermakna hidup ini bila dihayati keberkatan Jumaat itu. Alangkah indahnya jika hari Jumaat juga menjadi pengakhiran usiaku di dunia. Itulah harapan setiap mukmin. Moga tidak menjadi suatu kesalahan untuk aku juga berharap sedemikian. Allahumma Ikhtim La-na bi Husni al-Khatimah wa La Takhtim ‘Alayna bi Su’ al-Khatimah.



Kata mama, “hari jadi bukan untuk suka-suka. Tapi kena buat sujud syukur, berterima kasih kepada Allah kerana memberikan umur yang panjang. Moga-moga menjadi hamba Allah yang taat, in-sya-Allah. Itulah cara bersyukur”. Inilah kata-kata yang selalu diingat setiap kali ada ahli keluarga atau sahabat yang menyambut hari lahir. Ya, setuju dengan kata-kata mama. Pernah juga teringin untuk merasai betapa seronoknya menyambut hari lahir seperti orang lain. Tetapi aku tidak menemukan keindahan dan ketenangan. Hanya kekenyangan yang membuatkan diri malas untuk beribadah dan keseronokan melampau yang membuat diri leka. Terasa betapa sia-sianya masa yang dilalui. Bukan tidak boleh, tetapi bersederhana sahaja. Semoga ia menjadi suatu pengajaran buat diri.


Ingin juga diabadikan ucapan doa salah seorang teman yang menjadi pembakar semangat in-sya-Allah:
"Moga-moga dimurahkan rezeki dan diberkati-Nya serta, ditiup semangat-semangat jihad dalam diri kita. Amiinnn"

Bagaimana hendak melahirkan rasa syukur? Argh! Soalanku seperti anak kecil yang baru hendak mengenal dunia. Tapi biarlah! anak kecil juga manusia. Asal saja hatinya ingin hidup bertuhan dan dekat kepada Allah, dia lebih mulia dari si tua yang hanya asyik mencari keseronokan dunia semata. Seketika, hisablah diri…kerana rasa syukur itu tidak akan terbit dengan sendiri jika nikmat yang dikurniakan-Nya tidak dikeluarkan satu persatu.

0 comments:

Post a Comment